Adakah anda semua cakna tentang Pregnancy Induce Hypertension (PIH) di kalangan ibu hamil?
Saya percaya tentu ada di kalangan ibu di sini ‘familiar’ atau pernah dengar mengenai penyakit ini. Di dalam penulisan ini, saya akan berkongsi beberapa perkara penting untuk membuka mata para ibu sekalian betapa bahayanya hipertensi semasa mengandung. Jika tekanan darah tidak terkawal/tinggi, ia boleh berlaku pre-eklampsia.
Secara ringkasnya, hipertensi adalah satu masalah kesihatan yang kerap berlaku di kalangan ibu mengandung di mana keadaan bacaan tekanan darah sistolik melebihi >140 dan diastolik >90mmHg.
Ia dapat dipecahkan kepada 3 kategori:
- Hipertensi sedia ada (sebelum mengandung) – Essential Hypertension
- Hipertensi akibat mengandung – PIH
- Pra- eklampsia
Walaupun tiada punca sebenar mengapa sesetengah ibu hamil ada mendapat hipertensi dan ada yang tidak, tetapi para ibu harus peka risiko- risiko yang menyumbang kepada penyakit ini.
Antara faktor-faktornya adalah:
- Wanita yang berumur > 40 tahun
- Obesiti
- Sejarah hipertensi/pra-eklampsia pada kandungan sebelum ini
- Sejarah keluarga, ibu bapa atau adik-beradik yang menghidapi hipertensi
- Kandungan pertama
- Kandungan kembar
- Jarak antara kandungan yang lama
- Penyakit buah pinggang
- Diabetes/Hipertensi sedia ada
- Penyakit connective tissue dan kehadiran antibody anti-fosfolipid
BILA PREGNANCY INDUCE HYPERTENSION (PIH) BOLEH BERLAKU?
Hipertensi boleh berlaku bila-bila masa sahaja sepanjang tempoh kehamilan. Oleh yang demikian, wanita disarankan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan seawal tempoh kehamilan demi mendapatkan rawatan yang optimum dari pegawai kesihatan.
Pemeriksaan awal antenatal dapat mengenalpasti dan mengelakkan komplikasi pre-eklampsia semasa mengandung terutama bagi kes yang tiada gejala. Golongan ini memerlukan pemerhatian dan rawatan rapi kerana dianggarkan dua kali ganda berisiko mendapat pra-eklampsia, bayi kecil berbanding umur dan uri lekang yang menyebabkan pendarahan yang banyak.
PIH kerap berlaku pada usia kandungan ibu hamil 20 minggu ke atas / kehamilan trimester ke-2 dan berlaku sehingga bersalin. Keadaan ini juga tidak menunjukkan gejala darah tinggi tetapi rawatan tetap sama diberikan dan kemungkinan golongan ini berisiko lagi tinggi mendapat pra-eklampsia sehingga 15%.
Pra-eklampsia pula boleh berlaku apabila tekanan darah tinggi tidak terkawal sehingga menyebabkan organ seperti buah pinggang tidak berfungsi dengan baik di mana kita boleh lihat kehadiran protein di dalam air kencing. Kematian penghidap pra-eklampsia adalah disebabkan pendarahan di dalam otak dan masalah pernafasan. Maka para ibu amat disarankan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal pra-eklampsia seperti:
- Sakit kepala
- Kabur penglihatan
- Sakit di bahagian perut terutamanya di bahagian ulu hati
- Loya dan muntah
- Kaki bengkak dan sesak nafas
Jika tidak mendapat rawatan rapi, ibu boleh mendapat pre-eklampsia atau sawan seterusnya memudaratkan ibu dan janin. Situasi ini amat merbahaya kerana akan mengakibatkan komplikasi seperti strok, kerosakan otak yang kekal dan ada juga sehingga menyebabkan kematian ibu dan kandungan di dalam.
Sebagai langkah pencegahan terutamanya untuk ibu hamil yang telah didiagnos menghidapi penyakit hipertensi, ada beberapa tips yang penulis boleh kongsikan untuk menurunkan dan mengawal tekanan darah tinggi. Antaranya adalah mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang seperti mengurangkan pengambilan garam dan memperbanyakkan sayur dan buah-buahan. Selain itu, kurangkan stres dengan memastikan tidur dan rehat yang cukup serta beriadah ringan seperti berjalan-jalan. Dalam masa yang sama, pemeriksaan bacaan tekanan darah secara berkala dan pengambilan ubat tanpa culas atas arahan doktor yang merawat amatlah dititiberatkan.
Akhir kata, para ibu perlu membuat pemeriksaan berkala seawal tempoh kehamilan supaya penyakit yang berisiko tinggi seperti hipertensi ini dapat dikawal dengan baik di bawah pantauan pegawai kesihatan demi memastikan kesihatan ibu dan kandungan terjamin.