Faktor & Tanda Penyakit Jantung

Dr Ahmad Fahimullah Hamzah

Klinik Ajwa Eco Grandeur

Penyakit berkaitan jantung adalah antara penyebab utama kematian di Malaysia seperti pada 2020 apabila 17% daripada 18,515 kematian yang direkodkan berpunca daripada penyakit berkaitan jantung, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Beliau berkata perbelanjaan akibat penyakit jantung juga membebankan negara jika berdasarkan laporan Kos Penjagaan Kesihatan Langsung Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia yang dikeluarkan pada 2022, iaitu pada 2017 dianggarkan sebanyak RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos perawatan kesihatan digunakan bagi perbelanjaan merawat pesakit jantung.

FAKTOR – FAKTOR RISIKO SERANGAN JANTUNG

Faktor -faktor risiko serangan jantung atau pun dikenali juga sebagai penyakit jantung koronari boleh dibahagikan kepada dua iaitu faktor risiko yang tidak boleh dielakkan dan faktor risiko yang boleh dielakkan.

Faktor risiko yang tidak dapat dielakkan adalah faktor genetik. Orang yang mempunyai sejarah keluarga dengan serangan jantung berisiko lebih tinggi berbanding yang tidak mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit jantung ini. Statistik di Malaysia juga melaporkan orang berketurunan india mempunyai risiko paling tinggi untuk mendapatkan serangan jantung berbanding orang berbangsa melayu dan cina.

Faktor risiko yang dapat dielakkan adalah seperti mengamalkan gaya hidup sihat contohnya bersenam sekurang kurangnya tiga kali seminggu, mengamalkan gaya pemakanan yang sihat dan tidak merokok. Contoh gaya pemakanan yang sihat adalah seperti kurangkan makan makanan proses yang mempunyai kadar garam yang tinggi dan kurangkan makan makanan yang berminyak dan bergoreng. Selain daripada itu, amalkan pemakanan yang seimbang seperti kempen pinggan sihat dan suku-suku separuh.

TANDA – TANDA SERANGAN JANTUNG

Ramai yang menyangka tanda utama serangan jantung adalah sakit dada di sebelah kiri. Tetapi satu kajian yang dijalankan oleh sepasukan doktor jantung di Pakistan telah menyimpulkan hanya 18% pesakit jantung koronari ini yang datang ke hospital dengan gejala utama sakit dada di sebelah kiri. Selebihnya adalah sakit dada di bahagian tengah dan kanan, sakit ulu hati, sakit bahagian bahu dan ada yang tanpa sakit dada. Gejala serangan jantung yang majoriti atipikal ini meningkatkan kebarangkalian kematian mengejut di luar hospital dan kesilapan diagnosis oleh doktor yang merawat.

Jadi penting untuk kita mengetahui gejala-gejala lain serangan jantung bagi mengurangkan risiko terjadinya kesilapan diagnosis. Gejala-gejala lain serangan jantung adalah sesak nafas, berdebar- debar, berpeluh dingin dan pening kepala. Jika anda ada tanda – tanda seperti ini dan ditambah pula dengan faktor risiko penyakit jantung, segeralah ke hospital atau klinik untuk pemeriksaan dan rawatan lebih lanjut.

Kesedaran tentang tanda-tanda penyakit jantung dan faktor risiko penyakit jantung di kalangan masyarakat adalah sangat penting untuk mengurangkan kadar penyakit jantung di negara ini. Seterusnya, mengurangkan kadar kematian mengejut di luar hospital akibat penyakit ini. Saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk saringan kesihatan berkala bagi warga yang berusia 30 tahun ke atas adalah sangat penting untuk mengesan dan mengawal faktor-faktor risiko yang menjurus kepada penyakit jantung.

Related Topics

Explore some other topics that might interest you.