Dalam kesibukan harian, mencari masa untuk senaman boleh menjadi cabaran. Namun, senaman ringkas seperti brisk-walking atau berjalan pantas dapat memberikan manfaat besar, terutamanya dalam menjaga kesihatan jantung dan mencegah pelbagai penyakit.
Manfaat Brisk-Walking
Mengurangkan Berat Badan
Brisk-walking adalah aktiviti intensiti sederhana yang dapat membantu pembakaran kalori dengan efisien. Berjalan pantas selama 30-45 minit setiap hari, tubuh dapat membakar kalori yang mencukupi untuk membantu mengurangkan berat badan. Ini mengurangkan tekanan pada jantung dan mengurangkan risiko penyakit jantung yang sering dikaitkan dengan berat badan berlebihan.
Mengurangkan Tekanan Darah
Apabila kita berjalan, jantung mengepam darah dengan lebih cekap. Jadi ia boleh membantu menurunkan tekanan darah tinggi. Ini bermanfaat untuk mengurangkan risiko komplikasi jantung seperti strok atau serangan jantung.
Membakar Kalori
Brisk-walking selama setengah jam sehari boleh membantu membakar kira-kira 150 – 200 kalori, bergantung kepada berat badan dan intensiti berjalan. Apabila dilakukan secara konsisten, kalori yang dibakar akan menyumbang kepada pengurangan lemak dalam badan dan membantu mengekalkan berat badan yang sihat.
Merendahkan Kadar Gula dalam Darah
Untuk mereka yang menghadapi risiko diabetes, berjalan pantas boleh membantu mengurangkan kadar gula dalam darah. Senaman ini meningkatkan kepekaan insulin (insulin sensitivity), yang membolehkan glukosa dalam darah digunakan dengan lebih baik oleh sel-sel badan, dalam masa sama dapat mengawal paras gula.
Merendahkan Kolesterol dalam Darah
Ia juga dapat membantu meningkatkan paras kolesterol baik (HDL-Cholesterol) dan mengurangkan kolesterol jahat (LDL-Cholesterol) dalam darah. Ini penting untuk mengekalkan arteri yang sihat dan mengurangkan pembentukan plak yang boleh meningkatkan risiko serangan jantung.
Brisk-walking merupakan pilihan senaman yang paling simple kerana ia mampu dilakukan oleh semua golongan. Luangkan minimum 150 minit masa anda setiap minggu, demi kesihatan jantung.