Scan kehamilan adalah salah satu cara penting untuk memantau perkembangan bayi dalam kandungan. Terdapat beberapa waktu yang sesuai untuk menjalani scan kehamilan bergantung kepada tahap perkembangan janin dan paras hormon dalam tubuh ibu. Hormon kehamilan atau HCG adalah hormon kehamilan yang dihasilkan oleh plasenta selepas persenyawaan. Paras hormon HCG yang tinggi dalam darah dan air kencing menunjukkan kehadiran janin yang sedang berkembang. Apabila tahap HCG mencapai paras tertentu, ia memudahkan doktor untuk mengesan kantung kehamilan dan degupan jantung janin melalui scan.
HCG akan mencecah paras tertinggi apabila usia kehamilan mencapai 8-10 minggu. Untuk kantung kelihatan di skrin tv ultrasound, bacaan HCG perlu 1,000-1,500 dalam 5-6 minggu kehamilan. Jika ingin mendengar degupan jantung bayi, ia boleh mula didengari bermula seawal 6-7 minggu kehamilan.
Jika ibu mempunyai risiko tinggi mengandung di luar rahim, sejarah kehamilan luar rahim, pernah menjalani pembedahan pada tiub fallopian, atau pernah menggunakan peranti intrauterin (IUD), ibu disarankan untuk mendapatkan nasihat dan melakukan scan seawal 5 hingga 6 minggu.
Selain itu, tujuan utama scan di awal kehamilan ini adalah untuk mengesahkan kehamilan, menentukan tarikh anggaran bersalin, mengesahkan bilangan janin (sama ada kehamilan tunggal atau kembar), dan memeriksa kedudukan janin di dalam rahim.