Mommies yang sedang hamil pastinya ingin menjaga kesihatan diri dan bayi dalam kandungan dengan sebaik mungkin. Namun, salah satu masalah kesihatan yang sering dihadapi oleh ibu hamil ialah anemia.
Anemia berlaku apabila kandungan sel darah merah atau hemoglobin dalam darah menurun, mengakibatkan badan kekurangan oksigen yang mencukupi untuk keperluan tubuh dan bayi. Masalah ini tidak boleh diambil ringan kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mommies dan juga bayi.
Selain menyebabkan keletihan, anemia juga boleh meningkatkan risiko keguguran, kelahiran pra-matang, dan pendarahan berlebihan semasa atau selepas bersalin. Oleh itu, amat penting bagi mommies untuk memahami cara-cara mengelakkan masalah anemia semasa hamil dan memastikan pemakanan harian seimbang serta mencukupi.
Berikut adalah cara pemakanan yang boleh membantu elakkan masalah anemia:
✅ Makanan kaya dengan zat besi
Contohnya ayam, ikan, daging, dan sayuran hijau seperti bayam
✅ Meningkatkan pengambilan vitamin C
Sayur-sayuran dan buah-buahan seperti jambu batu, oren, dan buah sitrus membantu penyerapan zat besi dengan lebih baik
Namun, ramai yang kurang peka bahawa makanan dan minuman seperti koko, teh, dan kopi sebenarnya boleh menghalang penyerapan zat besi dalam badan. Jadi, jangan lupa untuk mengelakkan minuman tersebut semasa mengambil makanan kaya zat besi, dan sentiasa ambil suplemen yang disarankan oleh doktor bagi memastikan keperluan nutrisi mencukupi sepanjang kehamilan.
Pastikan mommies menjalani pemeriksaan kesihatan berkala dan mendapatkan nasihat daripada doktor sekiranya ada sebarang kebimbangan berkaitan anemia. Ingatlah, dengan menjaga diri sendiri, mommies juga sedang menjaga bayi dalam kandungan supaya dapat berkembang dengan sihat dan selamat.