Keliru Cara Makan Ubat Semasa Berpuasa?

Dr Nurul Syazida Mohd Ramli

Klinik Ajwa Seksyen 15

Seringkali menjadi persoalan dalam kalangan pesakit berkaitan batal atau tidak puasa jika mengambil atau menggunakan ubat semasa berpuasa. Bagi menyelesaikan kemusykilan dalam kalangan pesakit, berikut adalah maklumat penting untuk mereka fahami berkenaan status batal atau tidak batal puasa jika mengambil ubat semasa berpuasa.

  1. Perkara-perkara berkaitan dengan rawatan perubatan yang TIDAK membatalkan puasa ialah:

o Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga).

o Tablet sublingual (bawah lidah) dengan syarat diletakkan di bawah lidah dan tidak ditelan.

o Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.

o Semua jenis suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah.

o Pendermaan, pemindahan darah atau pengambilan sampel darah untuk ujian makmal.

o Ubat jenis sapuan (krim atau salap), balutan dan plaster pada permukaan kulit.

o Ubat kumur secara gargle (sehingga air hampir ke tekak), dan ubat terapeutik semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan.

o Rawatan bius setempat atau separuh.

o Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa melibatkan kawasan rongga yang dalam.

  1. Terdapat dua pendapat bagi perkara-perkara yang disenaraikan di bawah sama ada ia membatalkan puasa atau tidak (Anda boleh memilih untuk berpegang kepada pendapat yang anda yakini)

o Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (asma) atau penyakit paru-paru kronik.

o Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut hingga sampai ke rongga belakang hidung.

o Memasukkan sebarang tiub kecil (pessari) atau ubat ke dalam faraj termasuk prosedur cucian dan pemeriksaan dalaman vagina wanita.

o Memasukkan sebarang tiub kateter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing, barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita.

o Penggunaan alat seperti enema, tiub supositori, teropong protoscope atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rektum untuk pemeriksaan.

 

  1.   Perkara-perkara berkaitan dengan rawatan perubatan yang MEMBATALKAN puasa ialah:

o Pengambilan ubat jenis biji dan ubat minum.

o Penggunaan teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman.

 

Cara Pengambilan Ubat Semasa Berpuasa

Bagi mereka yang sakit, puasa bukanlah penghalang untuk meneruskan rawatan. Pengubahsuaian cara pengambilan ubat-ubatan boleh dilakukan oleh pesakit. Pesakit juga harus peka terhadap tahap kesihatan diri dan perlu bersedia untuk berbuka puasa sekiranya keadaan memerlukan. Perkara ini penting bagi mengelak sebarang kesan mudarat yang tidak diingini. Dapatkan nasihat doktor dan ahli farmasi terlebih dahulu sebelum membuat pengubahsuaian dos serta waktu pengambilan ubat-ubatan.

 

Berikut adalah panduan umum berkaitan pengambilan ubat-ubatan semasa berpuasa:

  • Jika ubat yang biasanya diambil sebelah pagi, ubat berkenaan boleh diambil semasa bersahur. (Bagi ubat kencing manis, ia boleh diubah ke waktu berbuka puasa bagi mengelakkan kurang gula dalam darah iaitu hypoglycaemia dan juga mengurangkan risiko dehidrasi)
  • Jika ubat diambil 2 kali sehari – boleh diambil semasa bersahur dan berbuka.
  • Jika ubat diambil 3 kali sehari – boleh dimabil semasa bersahur, berbuka dan  sebelum tidur malam. Anda boleh juga berbincang dengan doktor anda jika terdapat alternatif lain yang setara kepada ubat dos 3 kali sehari.
  • Jika ubat perlu diambil lebih dari 3 kali sehari – Anda boleh berbincang dengan doktor anda tentang alternatif dos lain atau sama ada wujud keringanan untuk anda tidak berpuasa sepanjang tempoh rawatan diambil.

Harap artikel ini dapat membantu anda lebih memahami tentang penggunaan ubat-ubatan semasa berpuasa.

Sumber rujukan:

  1. http://www.myhealth.gov.my/puasa-dan-ubat/

https://www.mmgazette.com/the-yes-no-of-medical-procedures-during-ramadhan-dr-siti-nurhayati-adznan/

Related Topics

Explore some other topics that might interest you.