Merancang Kehamilan Guna Susu Ibu. Boleh Ke?

Dr Aleya

Klinik Ajwa Seksyen 7

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada para pembaca sekalian. Terima kasih kerana terus berminat untuk mengenali kaedah merancang kehamilan bagi ibu yang sedang menyusukan anak. Pengisian ini khas untuk ibu-ibu yang baru saja melahirkan cahaya mata dan ada ‘plan’ nak merancang. Selain menggunakan kaedah alatan atau suntikan untuk mencegah kehamilan, penyusuan badan juga adalah salah satu kaedah merancang.

Penyusuan secara berterusan dan kerap sebagai kaedah merancang dipanggil Lactational Amenorrhea (LAM). Ia berfungsi dengan cara melambatkan haid anda semula. Jika anda sedang menyusukan bayi bermakna anda telah melakukan perancang kehamilan di awal kelahiran bayi anda.

Keberkesanan kaedah LAM dikatakan sebanyak 98%. Namun, ia akan berkesan jika :

  • Ibu belum mendapat haid selepas bersalin
  • Bayi berumur kurang dari 6 bulan
  • Exclusive breastfeeding —– hanya memberi susu ibu sahaja untuk setiap sesi penyusuan tanpa dicampur susu formula ataupun air

Sebaik sahaja bayi anda berhenti menyusu badan secara ekslusif, penyusuan akan menjadi kurang efektif untuk dijadikan sebagai pencegah kehamilan. Anda boleh mula menggunakan kaedah-kaedah lain yang tidak menjejaskan susu ibu dan selamat selepas melahirkan bayi. Antaranya :

  • Kondom
  • Diaphragm
  • Spermicide
  • IUD ( Alat mencegah kehamilan dalam Rahim ) tanpa hormon
  • Vasectomy
  • Tubal ligation

Selain itu, anda juga boleh menggunakan kaedah-kaedah perancang yang mengandungi hormon progestin. Hormon progestin selalunya tidak menjejaskan penghasilan susu ibu tetapi untuk mencegah sebarang risiko, digalakkan guna selepas 6 minggu selepas bersalin.

  • Minipill (pil perancang yang mengandungi hormon progestin sahaja)
  • Suntikan depo
  • Implanon

Boleh juga cuba kaedah-kaedah lain (mengandungi hormon estrogen). Cuma kaedah ini dapat mengurangkan penghasilan susu ibu :

  • Combined oral contraceptive iaitu pil perancang yang mengandungi kedua-dua progestin dan estrogen
  • Kaedah suntikan yang mengandungi kedua-dua hormon progestin dan estrogen

Untuk ibu yang sedang menyusukan bayi, digalakkan untuk menggunakan selepas 6 bulan selepas bersalin, jika ibu memilih cara ini sebelum 6 bulan selepas bersalin, ibu tetap digalakkan untuk terus menyusukan bayi memandangkan banyak khasiat terkandung dalam susu ibu.

Diharap pembacaan ini dapat memberi manfaat dan ilmu terutama kepada insan yang kali pertama bergelar ibu. Saya nasihatkan untuk berjumpa dengan doktor terlebih dahulu sebelum ambil apa-apa keputusan berkaitan kaedah perancang bersesuaian dengan anda.

Terima kasih.

Related Topics

Explore some other topics that might interest you.