GDM Si Pembunuh Senyap Ibu Dan Bayi Dalam Kandungan

Dr Nur Fathonah Jannah

Klinik Ajwa Seksyen 15

Adakah bahaya kencing manis semasa hamil? Adakah kesan penyakit diabetes semasa hamil boleh mempengaruhi kesihatan bayi dalam kandungan? Ini antara persoalan-persoalan yang sentiasa difikiran ibu yang sedang hamil.

Apa itu Gestational Diabetes Mellitus (GDM)?

Gestational diabetes mellitus (GDM) adalah suatu keadaan di mana paras gula darah yang meningkat semasa mengandung dan kebiasaannya hilang selepas kelahiran. Keadaan ini boleh berlaku pada mana- mana peringkat kehamilan (trimester), namun ia lebih kerap muncul sewaktu trimester kedua dan ketiga.

Bagaimanakah Gestational Diabetes Mellitus (GDM) boleh berlaku?

Pembesaran placenta yang menghasilkan lebih banyak hormon penghalang seperti kortisol/ estrogen/human placental lactogen menyebabkan berlakunyan rintangan dalam fungsi dan keberkesanan insulin.

Hal ini menyebabkan organ pankreas terpaksa menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengatasi rintangan tersebut. Insulin yang dihasilkan oleh pankreas berperanan untuk mengawal kuantiti gula dalam darah dan membolehkan badan manusia menyimpan glukosa yang tidak diperlukan serta merta bagi penghasilan tenaga. Sekiranya fungsi/peranan ini tidak mencukupi atau gagal, maka kadar paras gula di dalam badan akan naik dan menyebabkan berlakunya GDM.

Siapakah berisiko mendapat Gestational Diabetes Mellitus (GDM)?

    • BMI > 27kg/m2.
    • Sejarah GDM sewaktu kandungan sebelumnya.
    • Sejarah keluarga menghidap penyakit diabetes (1st degree relative).
  • Sejarah melahirkan bayi macrosomia (berat melebihi >4kg).
  • Mempunyai sejarah bayi meninggal di dalam perut/melahirkan bayi cacat (congenital anomalies).
  • Mempunyai penyakit darah tinggi/air ketuban berlebihan.

Apakah Simptom/ tanda Gestational Diabetes Mellitus (GDM)?

Kebiasaanya GDM adalah tidak bersimptom (asymptomatic). Kebanyakan kes dikesan sewaktu saringan yang dijalankan sewaktu kehamilan iaitu melalui ujian MGTT. Namun begitu, sesetengah wanita hamil berkemungkinan mengalami simptom hiperglisemia seperti di bawah :

  • Bertambah haus
  • Kerap Kencing
  • Mulut kering
  • Keletihan

Apakah Gestational Diabetes Mellitus (GDM) boleh menjejaskan kehamilan ?

Ya, mengalami GDM adalah satu perkara yang perlu dipantau dengan rapi.

Ini kerana, diabetes semasa hamil yang tidak dipantau dengan baik boleh menyebabkan paras gula dalam darah meningkat yang dimana, ia boleh menjejaskan kesihatan ibu yang sedang hamil. Bukan itu sahaja, ia juga boleh menjejaskan perkembangan bayi di dalam kandungan.

Bahaya Gestational Diabetes Mellitus (GDM) Terhadap Bayi

  • Berat Bayi Berlebihan
    • Paras gula yang tinggi yang boleh menyebabkan bayi dalam kandungan membesar dengan saiz yang lebih besar. Bayi dengan berat 4 kilogram ke atas mungkin akan lebih sukar untuk dilahirkan melalui kelahiran normal dan berisiko mendapat komplikasi seperti bahu tersangkut (shoulder dystocia).
  • Kelahiran bayi pramatang
    • Paras gula yang tinggi sewaktu hamil juga boleh menyebabkan ibu berisiko untuk melahirkan bayinya lebih awal (<37 minggu kehamilan).
  • Air ketuban berlebihan (Polyhydromnios).
  • Bayi berisiko mendapat paras gula rendah (Hypoglycemia) selepas kelahiran, yang mungkin memerlukan rawatan lanjut di hospital.
  • Bayi berisiko meninggal di dalam kandungan (IUD)/sewaktu dilahirkan (Stillbirth).

Bahaya Gestational Diabetes Mellitus (GDM)Terhadap Ibu

  • Tekanan darah tinggi (Preeclampsia)
      • Keadaan dimana tekanan darah tinggi semasa hamil dan boleh menyebabkan komplikasi yang lebih serius jika tidak ditangani awal.
  • Risiko kelahiran secara pembedahan (Caesarean section) 
    • Paras gula darah yang tinggi boleh menyebabkan kelahiran bayi yang lebih besar dari biasa, dan hal ini meningkatkan kemungkinan untuk ibu hamil tersebut melahirkan bayi melalui kaedah pembedahan (Caesarean section).
  • Berisiko mendapat GDM di kehamilan yang seterusnya/diabetes pada masa akan datang.

Kesimpulan

Bahaya GDM sewaktu kandungan bukan sahaja berlaku kepada ibu hamil malah ia juga boleh memberi bahaya kepada bayi di dalam kandungan.

Oleh itu, ibu hamil yang menghidap GDM dinasihatkan untuk menitikberatkan penjagaan paras gula di kadar paras normal justeru dapat mengelakkan komplikasi-komplikasi seperti di atas.

Related Topics

Explore some other topics that might interest you.